Kempen Minggu Tanpa Skrin, 21 April - 27 April 2015
21 April hingga 27 April ialah MINGGU TANPA SKRIN (sebelum ini dikenali sebagai Minggu Tidak Menonton Televisyen). Kempen secara tahunan yang telah dianjurkan semenjak 1995 ini, bertujuan untuk menggalakkan para ibu bapa dan anak-anak untuk menutup televisyen dan peralatan berskrin di rumah, dan seterusnya meluangkan masa tersebut dengan melakukan pelbagai perkara lain bersama-sama sebagai satu keluarga.
MENGAPA TANPA SKRIN?
Ini merupakan tahun ketujuh FOMCA mengadakan Minggu Tanpa Skrin. Media berskrin telah menghabiskan banyak masa keluarga, yang sepatutnya digunakan untuk melakukan aktiviti bersama. Tabiat menggunakan media berskrin untuk tujuan rekreasi secara yang berlebih-lebihan telah menyebabkan wujudnya gaya hidup yang suka bersendirian dan tidak banyak melibatkan dalam aktiviti fizikal. Justeru, tabiat ini tidak baik dari segi mental mahupun fizikal.
Kanak-kanak dan golongan muda didapati telah menghabiskan masa selama antara 4 hingga 6 jam sehari untuk menonton televisyen, bermain permainan video, atau menggunakan komputer untuk tujuan rekreasi. MINGGU TANPA SKRIN bertujuan untuk mewujudkan kesedaran bahawa masa menggunakan media berskrin perlu dihadkan kepada tidak lebih daripada 2 jam sehari.
Menutup media berskrin akan memberi peluang kepada anda untuk berfikir, membaca, mencipta dan membuat sesuatu perkara yang baru. Ia membolehkan anda bermesra dengan keluarga anda dan menggalakkan diri anda untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kekeluargaan.
The American Academy of Pediatrics menyarankan kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun tidak didedahkan dengan media berskrin, manakala kanak-kanak yang lebih tua pula tidak lebih daripada dua jam sehari.
Mengurangkan masa menggunakan media berskrin akan:
- Memberi peluang kepada pembelajaran
- Mengurangkan kesan iklan terhadap kanak-kanak
- Memberi lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti kreatif dan permainan yang aktif.