KUASA PENGGUNA TENTUKAN HARGA

KUASA PENGGUNA TENTUKAN HARGA

13 Februari 2015

Melangkah tahun 2015 dengan isu kepenggunaan yang semakin mencabar. Pengguna yang bijak, akan bersiap siaga dengan keadaan ini dan mempertingkat pendidikan kepenggunaan dari segala aspek, termasuk aspek sosial, ekonomi dan persekitaran semasa.

Cabaran yang sangat dirasai oleh pengguna ialah kenaikan harga barangan, meskipun harga petrol semakin rendah. Umum mengetahui, kerajaan telah melakukan tiga kali semakan harga bermula pada bulan Disember 2014 hingga Februari 2015. Harga terbaru RON95 dan diesel adalah RM 1.70 seliter. Ini merupakan pengurangan sebanyak 26.07% bagi harga RON95 dan 23.77% untuk diesel. Namun, tiada penurunan harga barang di pasaran. Mengapa hal ini berlaku? 

Kuasa Pengguna

Di negara Barat, seperti Australia, US, rakyat mereka mengamalkan sikap dasar ekonomi terbuka dan menggunakan kuasa pengguna untuk menentukan harga barangan. Sikap ini perlu dicontohi, iaituapabila pengguna berhadapan dengan peniaga yang mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan secara berlebihan, maka pengguna perlu menjalankan peranannya. Peranan perlu dimainkan secara holistik agar tekanan dapat dirasai oleh peniaga. Satu senario yang boleh dikaitkan dengan peranan ini ialah ketika berlakunya fenomena jangkitan selesema burung. Ramai pengguna mengambil keputusan tidak membeli ayam kerana khuatir dijangkiti penyakit ini. Hal ini memberi tekanan kepada industri ternakan ayam, sehingga menyebabkan mereka  tiada pilihan terpaksa menurunkan harga ayam. Ia juga boleh memberi tekanan sekiranya pengguna mengambil keputusan mengurangkan kekerapan membeli ayam daripada 7 kali seminggu kepada 3 kali seminggu.

 

Begitu juga dengan harga di restoran dan kedai-kedai makanan. Aduan yang diterima daripadapengguna mendapati harga meningkat sebanyak 5% hingga 10%. Ada antara peniaga yang bertindak mengecilkan saiz makanan bagi mengekalkan harga dengan alasan kos operasi meningkat.

Pilihan di tangan pengguna

Pengguna berhak menentukan barangan yang mereka pilih. Pengguna boleh beralih kepada produk generik yang harganya lebih murah 20%-30% daripada produk berjenama. Contohnya, kedai Rakyat 1 Malaysia boleh dijadikan sebagai penanda aras produk jenama lain kepada pengguna dalam menentukan harga barangan.  Pengguna  boleh membandingkan harga ini dengan kedai-kedai yang lain. 

Kesedaran pengguna terhadap aspek keselamatan makanan juga perlu ditingkatkan, seperti keadaan tin yang kemek, tarikh luput, wujudnya bendasing, label produk  dan lain-lain. Hal ini disebabkan terdapat peniaga dan pasar raya menjual produk seumpama ini dengan harga yang murah. Jika pengguna berhadapan dengan situasi ini, laporkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengguna juga boleh memperuntuk masa dengan menyediakan makanan sendiri dari rumah. Wanita yang bekerjaya sekurang-kurangnya boleh menyediakan makanan malam di rumah sekiranya tidak bekesempatan menyediakan sarapan. Kurangkan budaya makan di luar dan berkunjung ke restoran makanan segera. Menyediakan makanan sendiri lebih menyihatkan badan dan dapat menjimatkan belanja poket anda.

Pengguna juga digesa untuk membuat aduan sekiranya mendapati harga makanan naik secara mendadak atau peniaga didapati mengambil keuntungan secara berlebihan. Dapatkan resit sebagai bukti sokongan dan buat aduan kepada Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Kempen Penurunan Harga

Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mengumumkan penurunan harga bagi 73 barangan, iaitu antara 5 peratus hingga 20 peratus di 570 buah pasar tani sudah tentu memberikan kegembiraan kepada pengguna. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga turut mengadakan dialog dengan pihak pembekal, pemborong dan peruncit bagi mengenal pasti masalah ini.

Namun begitu, pengguna juga mempunyai peranan yang besar dalam menentukan ekonomi di pasaran. Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengkaji dasar monopoli import dan eksport bagi menangani masalah kenaikan harga.

 

Oleh: Siti Rahayu Zakaria, Naib Presiden FOMCA merangkap Setiausaha Kehormat, Persatuan Pengguna Selangor dan W. Persekutuan.

 

FOMCA App

NCCC - E-Aduan

Klik disini untuk membuat Aduan secara online
Atau
Hubungi Kami di talian
03 7877 9000
untuk membuat aduan

NCCC - Pusat aduan setempat bagi membantu para pengguna menyelesaikan masalah dan aduan pengguna

 

KonsumerKINI